Dikasihi Allah, dikasihi manusia

Salam,

Kalau kita baca kitab hadith 40, susunan Imam Nawawi, pada hadith yang ke-31 kita anda bertemu dengan hadith berikut.

Daripada Abu Abbas, Sahil bin Saad As-Sa’idd r.a, berkata : ” Telah datang seorang lelaki kepada Rasulullah SAW dan bertanya : ‘ Ya Rasulullah, tunjukkan aku suatu amalan, sekiranya aku buat, nescaya aku dicintai oleh Allah dan orang ramai. ‘ Maka dijawab Nabi : ‘ Hendaklah zahid di dunia, nescaya engkau dicintai oleh Allah dan engkau zahid pada apa yang ada di sisi manusia, maka nescaya engkau dicintai oleh orang ramai. ‘

Zahid yang dimaksudkan ini bukanlah Zahid AF. Tetapi Zahid dari segi bahasa bermaksud, “berpaling daripada sesuatu sebab kurang bernilai”

Imam Al-Ghazali memberi definasi zahid yang lebih jelas untuk dikaitkan dengan hadith di atas. Kata beliau, “Bukanlah orang yang zahid itu orang yang tidak berharta. Tetapi orang yang zahid itu ialah orang tiada dibimbangkan oleh hartanya sekalipun harta seluruh alam ini kepunyaannya belaka.”

Ibn Qayyim Al-Jauziyah pula mengkategorikan zahid kepada dua bahagian:

– Zahid itu ialah mengosongkan hati dari dunia bukan kosong tangan daripadanya. Inilah zahid orang-orang arifin.

– Zahid itu ialah kosong sama sekali dari sesuatu sama ada dari dunia ini mahu pun dari syurga diakhirat kelak, kecuali Allah sajalah tempat tumpuan. Inilah zahid golongan muqarabin.

Yang di atas semuanya berkaitan dengan zahid kepada dunia. Berkenaan zahid kepada barang yang ditangan manusia pula, bermaksud jangan mengharapkan sesuatu daripada manusia.

Diriwayatkan bahawa Abdullah bin Salam r.a. menemui Kaab Al-Ahbar yang sedang di sisi Umar r.a. Lalu Abdullah r.a. berkata, “Wahai Ka’ab siapakah golongan yang berilmu?” Ka’ab menjawab, “orang yang beramal dengan ilmu.” Abdullah r.a. bertanya lagi, “Apakah yang menghilangkan ilmu daripada hati ulama selepas mereka menghafal dan memahaminya?” Ka’ab menjawab, “Ia dihilangkan oleh ketamakkan, kerakusan nafsu fan meminta keperluan daripada manusia.” Abdullah r.a. pun berkata, “benar.”

Ketika mensyarahkan hadith ini, Imam Ibnu Rejab berkata, “Terdapat banyak hadith daripada Nabi s.a.w. yang mengarahkan supaya menjaga diri daripada meminta sesuatu kepada manusia dan supaya tidak bergantung kepada mereka. Sesiapa yang meninta kepada manusia apa yang ada di tangan mereka, mereka akan membenci dan tidak suka kepadanya, kerana harta sesuatu yang disayangi oleh jiwa manusia. Oleh itu, sesiapa yang meminta kepada mereka sesuatu yang mereka sayangi, mereka akan membencinya.”

Adakah kita ni termasuk hamba-hamba Allah yang zuhud? Imam Al-Ghazali di dalam Koleksi kitab Ihya Ulumuddin, di dalam Kitab Fakir dan Zuhud telah mengariskan beberapa ciri orang-orang zuhud :

– bahawa ia tidak gembira dengan adanya sesuatu dan tidak bersedih dengan tiadanya sesuatu. (tanda zuhud kepada harta)

– bahawa sama padanya antara orang yang mencelanya dan memujinya (zuhud kepada kemegahan)

– jinak hatinya kepada Allah s.w.t., setiap orang yang jinak hatinya dengan Allah, nescaya ia sibuk dengan yang demikian. Ia tidak sibuk dengan yang lain daripadaNya.

Wallahu’alam.

Rujukan

Jawami’i Al-Akham Jilid 3 (terjemhan bahagian Terjemahan dan Editorial Pustaka Salam Sdn. Bhd) , Imam Ibnu Rejab Al-Hanbali, Pustaka Salam Sdn. Bhd., 2007

Hadith Empat Puluh (Terjemahan dan syarah oleh Al-Ustaz Mustafa Abdul Rahman), Imam Nawawi, Dewan Pustaka Fajar, 2008.

Ihya Ulumuddin, Kitab Fakir dan Zuhud (Terjemahan Prof T.K.H. Ismail Yaakub Sh; Ma), Victory Agensi, Kuala Lumpur, 1988.

Leave a Comment

Your email address will not be published.